Wednesday, September 29, 2010

Kisah Kucing 2 Kampung

"..bakar!...ganyang!...serang!...", kata si Tompok, kucing kampung yang jadi ketua kawan-kawan sekampungnya dari Kg. Asli. Tompok dan hampir 30 ekor kucing kampung yang lain dibawa ke depan pejabat wakil penghulu Kg. Celup oleh kenalan si Tompok, Jon si kucing parsi bermata biru.

"...jangan bimbang Tompok. Aku dah uruskan makan, minum dan tempat tinggal kalian. Yang penting kalian suarakan ketidakpuasan hati kalian pada wakil Kg.Celup. Sampai bila kalian mau lihat kucing-kucing di Kg. Celup menggunakan lagu dan tarian asal kucing-kucing Kg. Asal?..", itu kata Jon.

Bukan kucing-kucing Kg. Asal sengaja biarkan kucing-kucing Kg. Celup meniru lagu dan tarian mereka, tetapi mereka keliru sebenarnya. Siapa tiru siapa?... Kucing-kucing dari kampung berjiran itu sebenarnya banyak persamaan. Malah, adik betina si Tompok, Kasturi pun berkeluarga dengan kucing jantan dari Kg. Celup. Kerana bagi Kasturi, suaminya itu mampu memberikan perlindungan kepadanya dia, malah banyak persamaan dengan dirinya.

Kucing-kucing di Kg. Celup misalnya, lebih maju dari segi pemikiran. Ketua kucing di Kg. Celup, Si Belang pernah beberapa kali berucap di Persidangan Kucing Bersatu, membawakan isu kesamarataan antara kucing-kucing seluruh dunia. Si Belang juga telah memperkenalkan konsep 1Celup, sebagai gagasan supaya kucing-kucing di Kg. Celup tidak melihat negatif kepada perbezaan, tetapi meraikan perbezaan. Pelik bunyi nya...kata si Tompok. Tetapi, kucing-kucing di sana gembira, malah sudah mula menampakkan hasil. Tiada lagi istilah kucing siam, kucing parsi, kucing kampung. Semua sudah jadi kucing Celup. Hati si Tompok tertawa bila disebut nama Kucing Celup.

Dahulu, kucing-kucing di Kg. Asal turut bangga melihat kemajuan yang dicapai oleh Kg. Celup. Si Tompok sendiri menggalakkan kucing-kucing di Kg. Asal untuk belajar teknologi kucing-kucing Kg. Celup. Ada yang berpindah ke sana, menjadi pekerja. Ada yang berhijrah terus, ada yang bermusim. Kucing-kucing Kg. Celup pun ada yang melabur di Kg. Asal. Ketika itu, Tompok hanya mahu kucing-kucing di Kg. Asal untuk meningkatkan taraf ekonomi Kg. Asal.

Tompok tambah geram bila diingatkan kembali peristiwa ditipu oleh Tom, kucing yang berasal dari benua lain. Tom tiba di Kg. Asal setelah kampung itu dilanda musibah. Habis semua perusahaan jatuh bankrap, gara-gara merudumnya mata wang. Ketika itu, Tom tiba. Kata Tom, dia boleh bagi pinjam duit untuk bangunkan Kg. Asal semula, tetapi beberapa jawatan dalam jawatankuasa Kg. Asal perlu diberikan kepada rakan-rakan Tom. Antaranya ialah Jon, kucing parsi bermata biru. Tompok setuju, dan pembangunan Kg. Asal meningkat mendadak. Imej Kg. Asal berubah, daripada kampung berasaskan tradisi kepada kampung berasaskan industri. Banyak pelaburan dicipta. Kucing-kucing yang ikut arus moden, jadi maju. Kucing-kucing yang kerja di kampung tetap miskin. Tompok rasa ada ketidakseimbangan sosioekonomi. Tetapi, asalkan imej Kg. Asal naik, lantaklah.

Tompok perasan, bila ada ketidakseimbangan sosioekonomi, ada kucing-kucing yang jadi senstif tak tentu pasal. Termasuklah dia sendiri. Sikit-sikit nak marah. Sikit-sikit nak berdemonstrasi. Justeru bila si Jon kata padanya kucing-kucing di Kg. Celup cuba mencuri identiti kucing-kucing di Kg Asal, meluap-luap sensitivitinya.

"Mana boleh!!...tarian purpur itukan tarian nenek moyang kita. Bagaimana pula boleh dikatakan tarian tradisi Kg. Celup? Lagu Burung Nenek Muda itu kan sudah lama dinyanyikan oleh kucing-kucing di Kg. Asal. Kenapa akhir-akhir ini, kucing-kucing Kg. Celup berdendang lagu yang sama?...Ini satu pencurian identiti! Ini telah melanggar prinsip hakcipta!...", begitulah ucapan Tompok dalam satu perhimpunan kucing-kucing Kg. Asal. Mereka berkumpul setelah Jon memberikan maklumat tersebut. Mereka haru berterima kasih kepada Jon, kucing parsi yang datang menabur khidmat di Kg. Asal. Jon dah bawa ramai kucing-kucing parsi untuk berkhidmat di syarikat-syarikat besar Kg. Asal. Bertuah Kg. Asal dapat khidmat si Jon.

Suratkhabar kenalan Jon, SUARA PECAH yang diedarkan di Kg. Asal, melaporkan pelbagai pencabulan hak identiti oleh kucing-kucing Kg. Celup. Hari-hari mereka disajikan berita angkara jahat kucing Kg. Celup.
"Lagi Kucing Kg. Asal didera Kucing Celup".
"Majikan dera Buruh berasal dari Kg. Asal".
"Kucing Kg. Asal dipenjara tanpa bicara di Kg. Celup".
.....banyak lagi headline yang panas oleh akhbar SUARA PECAH. Hari-hari kucing Kg. Asal disajikan dengan informasi yang membangkitkan nasionalisme mereka. Kg. Celup dilihat sudah melampau. Enggan menghormati hak kekucingan kucing Kg. Asal. MELAMPAU!!!

"Ayuh kita berdemonstrasi di depan pejabat wakil Kg. Celup. Kita maklumkan ketidakpuasan hati kita pada mereka. Kita serang warga Kg. Celup yang ada di Kg. Asal. Kita pulaukan perniagaan dan perusahaan mereka...", ucapan Jon yang membakar semangat kucing-kucing Kg. Asal. Tompok berkata di dalam hati, lagi baik si Jon ini berbanding adik iparnya dari Kg. Celup.

Hari perhimpunan untuk berdemonstrasi telah tiba. Mereka berkumpul menyanyi lagu rasmi Kg. Asal, mereka mengibarkan bendera Kg. Asal. Mereka menyumpah-nyumpah Kg. Celup. Mereka lempar batu ke pejabat wakil Kg. Celup. Mereka ludah bendera Kg. Celup. Mereka bakar bendera Kg. Celup. Mereka baling najis ke pejabat wakil Kg. Celup. Sampai ke tahap itu semangat kampung mereka. Mereka sayang kampung mereka. Mereka tahu Kg. Celup jahat. Curi identiti mereka. Akhbar kepercayaan mereka beri sumber yang sentiasa tepat. Mereka berada di pihak benar.

Sementara itu di Kg. Celup....

"Kita melihat situasi di Kg. Asal adalah kes terpencil. Kerana hanya kurang dari 30 ekor kucing di sana yang memprotes. Manakala masih ada 2000 ekor kucing yang tidak menyatakan pendirian mereka terhadap isu tersebut. Kita tidak akan memanggil balik kucing-kucing kita di sana. Kita akan terus menjalinkan hubungan baik dengan Kg. Asal, kerana itu adalah tradisi kita. Apa yang ada di Kg. Celup banyak yang berasal daripada sumber yang sama dengan Kg. Asal. Kampung kita dan Kg. Asal, dulunya merupakan sebuah kampung yang kaya dan makmur. Justeru, sejarah membuktikan, susur galur nenek moyang kita berkongsi banyak perkara. Apatah lagi, kucing-kucing di sana dan di sini adalah Kucing Kampung...", Si Belang memberikan ulasan di dalam televisyen, yang pastinya tidak akan dilaporkan oleh SUARA PECAH.

No comments:

Post a Comment