Tuesday, March 1, 2011

VIVA PALESTIN

Assalam,Td kat opis aku ada road-show pihak MAPIM (majlis perundingan pertubuhan islam malaysia). Diorg ni buat visit kerap ke Palestin. Aku nak share beberapa quotation yg Ustaz tu sebutkan.

1. Masa die first time jumpa Dr. Ismail Hanniyeh, Dr. Ismail cakap kat rombongan dia,"Saya tak meminta saudara datang mengangkat senjata berjuang bersama kami, saya tak meminta saudara sumbangkan senjata, wang ringgit dan sebagainya. Saya hanya meminta saudara mendoakan kemenangan kami menentang penjahat Yahudi."

2. Dalam satu video yang dipaparkan, seorg budak lingkungan 10 tahun bercerita, "Ayah saya hanya seorang petani, dia tidak menembak sesiapa, dia tidak mengebom sesiapa. Tetapi dia dibunuh dengan kejam oleh Zionis Israel. Kenapa ayah saya dibunuh?".

3. Daripada puluhan ribu mangsa perang Palestin-Israel, lebih separuh daripada korban perang adalah anak-anak kecil yang bersenjatakan batu. Dalam video, ditunjukkan kesan peluru di kepala, di dada (ada yang sampai 2 lubang peluru) pada badan mayat kanak-kanak. Apa agaknya ancaman yang diberikan oleh anak-anak kecil ini kepada rejim ganas Zionis?

4. Rejim ganas Zionis mengebom Palestin dengan bom fosforus, yang berwarna putih. Yang mana jika terkena badan, kulit akan hancur dan terpisah daripada tulang. Bom ini tidak pernah digunakan hatta kepada binatang.

5. Dalam video, ada sepasang ibubapa menangis kerana anaknya cacat akibat serpihan bom. Si bapa berkata, "Di manakah pertubuhan hak asasi manusia? Jika seekor haiwan ditimpa musibah, mereka sanggup merentas lautan untuk memberi bantuan. Mereka sanggup melaburkan jutaan ringgit untuk menyelamatkan haiwan. Mereka sanggup bersusah payah untuk haiwan tersebut. Apakah anak saya ini lebih hina daripada haiwan? Sehingga tiada bantuan yang diterima?".

6. Gaza mempunyai pantai, tetapi penduduk Palestin tidak pernah makan ikan. Kerana sesiapa yang merentasi lautan lebih 3 batu nautika akan ditembak oleh tentera rejim Israel.

7. Kini Mesir telah berubah kepimpinan. Pintu Rafah telah dibuka untuk bantuan ke Gaza. MAPIM akan menganjurkan kutipan derma bagi membina sebuah HOSPITAL KANAK-KANAK di Gaza. Ini kerana, majoriti mangsa perang adalah kanak-kanak. Pembinaan dijangka menelan belanja RM150 juta.

8. Tanggungjawab membebaskan Palestin bukan ke atas rakyat Palestin atau Arab sahaja. Tetapi tanggungjawab umat Islam seluruhnya. Tanyakan diri kita, "Apakah yang telah kita lakukan untuk umat Palestin? Apakah yang telah kita lakukan untuk Umat Islam dunia?'. Cukupkah dengan hanya berdoa?".

Sumbangan boleh dibuat kepada TABUNG GAZA - MAPIM, BIMB : 0801301007582 , Tel : 0143249697 / 0175554828 / 0193837490(No Tel aku tgk kat blog dan facebook diorg)

Thursday, February 17, 2011

...kalau mencari perbezaan.

Mamat membuka helaian suratkhabar yang diletakkan di atas meja makannya. Terhidang bersama sepinggan pisang goreng dan air teh o. Isterinya sempat menyediakan sarapan pagi untuknya sebelum berangkat ke surau untuk mendengar ceramah Maulud Nabi. Mamat tidak turut serta ke surau. Katanya, terlalu banyak politik di surau. Yang berceramah asyik memerli pemimpin. Yang mendengar sibuk membuat andaian siapa yang diperli. Tak terkecuali, ada jemaah surau yang lebih berminat mendengar lawak jenaka berbanding isi ceramah.



Pening. Pening. Makin ditenung suratkhabar itu, makin pening kepalanya. Tajuk berita yang dibaca bukanlah satu tajuk yang baru. Lebih sepuluh tahun lepas, kedua-dua tokoh yang disanjung oleh Mamat pernah bertelagah isu Melayu dan Islam. Sekarang, isu itu menghiasi helaian akhbar semula. Walaupun perperangan kali ini bermula di medan maya. Namun, terkesan juga pembaca-pembaca akhbar harian yang buta internet.



TDM kata, TGNA punca perpecahan umat Islam. TGNA kata sebaliknya.


TDM kata, umat Islam Melayu selamat kerana golongan nasionalis.


TGNA kata, kerana nasionalis lah Islam Melayu makin terancam.





Islam Melayu? Melayu Islam? Mamat bulatkan matanya, nampak sama saja kedua-dua istilah itu. Mamat fikir jauh-jauh ke zaman sekolahnya. Cikgu Kassim kata yang di depan sesuatu istilah adalah subjek, dan yang dibelakang adalah predikat. Subjek ialah perkara yang ingin diterangkan. Predikat pula ialah perihal yang menerangkan akan subjek.





Maksudnya, kalau Islam Melayu, ayatnya menjadi 'Islam yang dimelayukan'.


Maksudnya, kalau Melayu Islam, ayatnya menjadi 'Melayu yang diislamkan'.


Ahh!! Parah! Golongan mana aku berada? Golongan mana yang hak?
Hati kecil Mamat berdetik, "buat apa aku nak fikir jauh-jauh...itu kerja pejuang bangsa, nasionalis..".
"eh, orang agama la yang patut fikir ini semua...".



Sudahnya, Mamat tenung semula akhbar itu, dibeleknya perenggan demi perenggan. Tiada satu pun percanggahan fakta berkaitan dengan sumbangan kedua-dua pihak tokoh tersebut. Masing-masing ada sumbangan kepada negara, bangsa dan agama. TDM hingga ke antarabangsa. TGNA hingga ke lubuk hati penyokongnya. Kedua-dua tokoh memberi kesan yang mendalam. Kedua-dua tokoh tidak menunjukkan sifat gila kuasa. Kedua-dua tokoh ada ramai penyanjung. Kedua-dua tokoh adalah idola Mamat.



Kini kedua-dua tokoh bertembung dalam arena yang sangat menyedihkan. Di usia lanjut, kedua-dua tokoh berbicara tentang agama, bangsa dan negara dalam kaca mata masing-masing. Mamat gusar, kesempatan ini adalah peluang untuk para penghasut bertindak. Mamat bimbang, kalau ini petanda yang sesuatu musibah bakal tiba di negaranya.



Mamat tersenyum, pertama kali dia melihat TGNA secara mata kasar, adalah ketika tokoh itu melawat anak perempuannya di sebuah universiti di selatan semenanjung. TGNA tiba tanpa kereta-kereta pengiring. Tanpa ada karpet merah. Tanpa ada pengawal peribadi. Zuhud! Terpacul perkataan tersebut apabila TGNA tersenyum kepada Mamat. Jernih muka TGNA tidak dapat dikatakan. Sejuk hati. Hilang gusar. Diangkat terus nama TGNA menjadi tokoh sanjungannya ketika itu.



Mamat turut menangis, bila TDM mengumumkan untuk meletakkan jawatan di dalam parti. Keputusan TDM bermakna era pemerintahan yang panjang bakal tamat dan disambung oleh tokoh yang lain. Mamat tidak percaya ada tokoh lain yang mampu memimpin negara sebaik TDM. TDM adalah legenda yang hidup. Mamat seperti ingin meraung bila melihat TDM mengetuk kad perakam waktu terakhirnya sebagai Perdana Menteri. Yang menghalang air mata Mamat daripada tumpah adalah egonya.



Nah, kedua-duanya memberi sesuatu yang terkesan di dalam hati Mamat. Kata bapa Mamat, 'tanda orang yang ikhlas adalah bila hatinya tidak terkesan dengan pujian mahupun kejian'. mamat masih ingat dengan jelas kata-kata itu. Kedua-dua tokoh itu pastinya sudah menerima bermacam pujian dan kejian. Malah mungking tidak tercapai oleh akal umat manusia, betapa banyak jumlah kejian atau pujian yang diterima oleh kedua-dua tokoh tersebut.



Akhirnya Mamat menutup suratkhabar tersebut, dan mencapai songkok. Mamat mengambil wuduk. Mamat sarungkan selipar. Mamat kuncikan rumahnya. Mamat berjalan menuju ke surau. Terdengar laungan selawat ke atas tokoh pujaan hatinya, tiada terbanding lagi, Nabi Muhammad SAW. Mamat berkobar-kobar. Mamat nekad mahu melupakan dunia, dan mahu meninggalkan tanggapan lain tentang penceramah di luar surau. Kini dia adalah Mamat yang mahu membuka hatinya, menerima pandangan dan kritikan. Mamat mahu menjadi ikhlas dalam hidup.



Mamat berkata di dalam hatinya,"Kalau hidup sentiasa mencari perbezaan, pasti aku tidak akan berhenti menjumpainya. Lebih baik aku mencari persamaan.".

Thursday, September 30, 2010

AMALAN SUNNAH YANG DILUPAI

Dipetik dari: www.myfizi.blogspot.com

1. Imam tidak perlu melantangkan bacaan Basmalah (Bismi Llahi r-Rahmani r-Rahim) dalam Surah Al-Fatihah ketika solat jahr (menyaringkan suara dalam solat) [Muslim/399][Musnad Ahmad/12833, 13919, 16833, 20564] [Sahih Ibnu Hibban/1799, 1802] [An-Nasa’i/1907]

2. Berdoa apabila membaca ayat rahmat dan memohon perlindungan apabila membaca ayat `azab [Sahih Ibnu Hibban/2604][An-Nasa’i/1008, 1009, 1132]

3. Meletakkan 2 tangan sebelum 2 lutut tatkala hendak sujud [At-Tirmizi/269][An-Nasa’i/1091]

4. Makmum hendaklah tidak membengkokkan belakangnya (untuk sujud) sehinggalah imam meletakkan dahinya ke Bumi [Bukhari/778][Muslim/473]

5. Tidak bangun untuk raka`at seterusnya (dari raka`at ganjil ke genap) melainkan duduk sebentar selepas sujud kedua [Bukhari/789][An-Nasa’i/1152][Sahih Ibnu Hibban/1934][At-Tirmizi/287]

6. Mengangkat jari telunjuk ketika duduk tahiyyat akhir dan berdoa dengannya [Muslim/580][An-Nasa’i/1269][Ibnu Majah/912][At-Tirmizi/294] sambil menggerak-gerakkan jari telunjuk [An-Nasa’i/889, 1268][Sahih Ibnu Hibban/1945, 1860]

7. Memandang jari telunjuk ketika duduk tahiyyat [Sahih Ibnu Hibban/1947, An-Nasa’i-1160]

8. Berdoa dalam tahiyyat akhir selepas membaca selawat ke atas Nabi sebelum memberi salam dengan doa-doa yang Nabi ajarkan [Bukhari/798, 799][Muslim/588, 590, 771] (Berdoa selepas memberi salam bukanlah Sunnah Nabi)

9. Menyegerakan solat pada awal waktunya [At-Tirmizi/170, 173]

10. Melewatkan solat `Isya’ [Abu Daud/46][An-Nasa’i/534][Sahih Ibnu Hibban/1531][At-Tirmizi/23, 167]

11. Menyapu muka selepas selesai memberi salam bukanlah Sunnah Nabi. Nabi bersolat dan sujud pada air dan tanah, sehingga kelihatan kesan tanah pada dahinya. Hal ini mengisyaratkan bahawa baginda tidak menyapu muka mahupun hidungnya selepas solat [Bukhari/801]

12. Meletakkan sutrah (penghadang) di hadapan ketika bersolat [Bukhari/477][Muslim/503][Sahih Ibnu Hibban/2362, 2369, 2373][An-Nasa’i/772, 748, 749]

13. Jangan bersolat dengan kepala berikat [Muslim/492][Ibnu Majah/1042][Sahih Ibnu Hibban/2280]

14. Jangan bersolat dengan sehelai kain melainkan tanpa sesuatu di bahunya (ketika solat mestilah menutup bahu) [An-Nasa’i/769][Sahih Ibnu Hibban/2304]

15. Jangan meludah ke kanan atau ke hadapan, melainkan meludah ke kiri atau di bawah kaki kiri [Bukhari/400][Muslim/548][Ibnu Majah/1021] atau boleh juga meludah ke baju [Bukhari/238, 397][Muslim/550]

16. Hendaklah berhenti dan jangan melintasi orang yang bersolat (kecuali melintasi sutrah) [Bukhari/488][Muslim/507][At-Tirmizi/336]

17. Jika ragu-ragu tentang kentut, jangan berpaling (beredar) kecuali mendengar bunyi atau mendapati suatu bau [Bukhari/137][Muslim/361][Ibnu Majah/514][An-Nasa’i/160]

18. Jangan menutup mulut (seperti dengan hujung serban) ketika solat [Ibnu Majah/966-Hasan]

19. Jika selesai solat di rumah, lalu ke masjid dan melihat orang bersolat jema`ah, maka sunnat bersolat jema`ah bersama mereka [At-Tirmizi/219]

20. Jika imam solat duduk, maka makmum hendaklah solat secara duduk juga [Bukhari/656, 657, 701][Muslim/411][At-Tirmizi/360][Sahih Ibnu Hibban/579]

21. Imam hendaklah menghadap makmum dengan wajahnya selepas solat [Bukhari/809]

22. Apabila solat jema`ah di masjid telah selesai, dan lalu datang seorang lelaki, maka seseorang hendaklah bersedeqah ke atasnya (dengan menemaninya bersolat jema`ah) [At-Tirmizi/220-Sahih]

Wednesday, September 29, 2010

Kisah Kucing 2 Kampung

"..bakar!...ganyang!...serang!...", kata si Tompok, kucing kampung yang jadi ketua kawan-kawan sekampungnya dari Kg. Asli. Tompok dan hampir 30 ekor kucing kampung yang lain dibawa ke depan pejabat wakil penghulu Kg. Celup oleh kenalan si Tompok, Jon si kucing parsi bermata biru.

"...jangan bimbang Tompok. Aku dah uruskan makan, minum dan tempat tinggal kalian. Yang penting kalian suarakan ketidakpuasan hati kalian pada wakil Kg.Celup. Sampai bila kalian mau lihat kucing-kucing di Kg. Celup menggunakan lagu dan tarian asal kucing-kucing Kg. Asal?..", itu kata Jon.

Bukan kucing-kucing Kg. Asal sengaja biarkan kucing-kucing Kg. Celup meniru lagu dan tarian mereka, tetapi mereka keliru sebenarnya. Siapa tiru siapa?... Kucing-kucing dari kampung berjiran itu sebenarnya banyak persamaan. Malah, adik betina si Tompok, Kasturi pun berkeluarga dengan kucing jantan dari Kg. Celup. Kerana bagi Kasturi, suaminya itu mampu memberikan perlindungan kepadanya dia, malah banyak persamaan dengan dirinya.

Kucing-kucing di Kg. Celup misalnya, lebih maju dari segi pemikiran. Ketua kucing di Kg. Celup, Si Belang pernah beberapa kali berucap di Persidangan Kucing Bersatu, membawakan isu kesamarataan antara kucing-kucing seluruh dunia. Si Belang juga telah memperkenalkan konsep 1Celup, sebagai gagasan supaya kucing-kucing di Kg. Celup tidak melihat negatif kepada perbezaan, tetapi meraikan perbezaan. Pelik bunyi nya...kata si Tompok. Tetapi, kucing-kucing di sana gembira, malah sudah mula menampakkan hasil. Tiada lagi istilah kucing siam, kucing parsi, kucing kampung. Semua sudah jadi kucing Celup. Hati si Tompok tertawa bila disebut nama Kucing Celup.

Dahulu, kucing-kucing di Kg. Asal turut bangga melihat kemajuan yang dicapai oleh Kg. Celup. Si Tompok sendiri menggalakkan kucing-kucing di Kg. Asal untuk belajar teknologi kucing-kucing Kg. Celup. Ada yang berpindah ke sana, menjadi pekerja. Ada yang berhijrah terus, ada yang bermusim. Kucing-kucing Kg. Celup pun ada yang melabur di Kg. Asal. Ketika itu, Tompok hanya mahu kucing-kucing di Kg. Asal untuk meningkatkan taraf ekonomi Kg. Asal.

Tompok tambah geram bila diingatkan kembali peristiwa ditipu oleh Tom, kucing yang berasal dari benua lain. Tom tiba di Kg. Asal setelah kampung itu dilanda musibah. Habis semua perusahaan jatuh bankrap, gara-gara merudumnya mata wang. Ketika itu, Tom tiba. Kata Tom, dia boleh bagi pinjam duit untuk bangunkan Kg. Asal semula, tetapi beberapa jawatan dalam jawatankuasa Kg. Asal perlu diberikan kepada rakan-rakan Tom. Antaranya ialah Jon, kucing parsi bermata biru. Tompok setuju, dan pembangunan Kg. Asal meningkat mendadak. Imej Kg. Asal berubah, daripada kampung berasaskan tradisi kepada kampung berasaskan industri. Banyak pelaburan dicipta. Kucing-kucing yang ikut arus moden, jadi maju. Kucing-kucing yang kerja di kampung tetap miskin. Tompok rasa ada ketidakseimbangan sosioekonomi. Tetapi, asalkan imej Kg. Asal naik, lantaklah.

Tompok perasan, bila ada ketidakseimbangan sosioekonomi, ada kucing-kucing yang jadi senstif tak tentu pasal. Termasuklah dia sendiri. Sikit-sikit nak marah. Sikit-sikit nak berdemonstrasi. Justeru bila si Jon kata padanya kucing-kucing di Kg. Celup cuba mencuri identiti kucing-kucing di Kg Asal, meluap-luap sensitivitinya.

"Mana boleh!!...tarian purpur itukan tarian nenek moyang kita. Bagaimana pula boleh dikatakan tarian tradisi Kg. Celup? Lagu Burung Nenek Muda itu kan sudah lama dinyanyikan oleh kucing-kucing di Kg. Asal. Kenapa akhir-akhir ini, kucing-kucing Kg. Celup berdendang lagu yang sama?...Ini satu pencurian identiti! Ini telah melanggar prinsip hakcipta!...", begitulah ucapan Tompok dalam satu perhimpunan kucing-kucing Kg. Asal. Mereka berkumpul setelah Jon memberikan maklumat tersebut. Mereka haru berterima kasih kepada Jon, kucing parsi yang datang menabur khidmat di Kg. Asal. Jon dah bawa ramai kucing-kucing parsi untuk berkhidmat di syarikat-syarikat besar Kg. Asal. Bertuah Kg. Asal dapat khidmat si Jon.

Suratkhabar kenalan Jon, SUARA PECAH yang diedarkan di Kg. Asal, melaporkan pelbagai pencabulan hak identiti oleh kucing-kucing Kg. Celup. Hari-hari mereka disajikan berita angkara jahat kucing Kg. Celup.
"Lagi Kucing Kg. Asal didera Kucing Celup".
"Majikan dera Buruh berasal dari Kg. Asal".
"Kucing Kg. Asal dipenjara tanpa bicara di Kg. Celup".
.....banyak lagi headline yang panas oleh akhbar SUARA PECAH. Hari-hari kucing Kg. Asal disajikan dengan informasi yang membangkitkan nasionalisme mereka. Kg. Celup dilihat sudah melampau. Enggan menghormati hak kekucingan kucing Kg. Asal. MELAMPAU!!!

"Ayuh kita berdemonstrasi di depan pejabat wakil Kg. Celup. Kita maklumkan ketidakpuasan hati kita pada mereka. Kita serang warga Kg. Celup yang ada di Kg. Asal. Kita pulaukan perniagaan dan perusahaan mereka...", ucapan Jon yang membakar semangat kucing-kucing Kg. Asal. Tompok berkata di dalam hati, lagi baik si Jon ini berbanding adik iparnya dari Kg. Celup.

Hari perhimpunan untuk berdemonstrasi telah tiba. Mereka berkumpul menyanyi lagu rasmi Kg. Asal, mereka mengibarkan bendera Kg. Asal. Mereka menyumpah-nyumpah Kg. Celup. Mereka lempar batu ke pejabat wakil Kg. Celup. Mereka ludah bendera Kg. Celup. Mereka bakar bendera Kg. Celup. Mereka baling najis ke pejabat wakil Kg. Celup. Sampai ke tahap itu semangat kampung mereka. Mereka sayang kampung mereka. Mereka tahu Kg. Celup jahat. Curi identiti mereka. Akhbar kepercayaan mereka beri sumber yang sentiasa tepat. Mereka berada di pihak benar.

Sementara itu di Kg. Celup....

"Kita melihat situasi di Kg. Asal adalah kes terpencil. Kerana hanya kurang dari 30 ekor kucing di sana yang memprotes. Manakala masih ada 2000 ekor kucing yang tidak menyatakan pendirian mereka terhadap isu tersebut. Kita tidak akan memanggil balik kucing-kucing kita di sana. Kita akan terus menjalinkan hubungan baik dengan Kg. Asal, kerana itu adalah tradisi kita. Apa yang ada di Kg. Celup banyak yang berasal daripada sumber yang sama dengan Kg. Asal. Kampung kita dan Kg. Asal, dulunya merupakan sebuah kampung yang kaya dan makmur. Justeru, sejarah membuktikan, susur galur nenek moyang kita berkongsi banyak perkara. Apatah lagi, kucing-kucing di sana dan di sini adalah Kucing Kampung...", Si Belang memberikan ulasan di dalam televisyen, yang pastinya tidak akan dilaporkan oleh SUARA PECAH.