Thursday, February 17, 2011

...kalau mencari perbezaan.

Mamat membuka helaian suratkhabar yang diletakkan di atas meja makannya. Terhidang bersama sepinggan pisang goreng dan air teh o. Isterinya sempat menyediakan sarapan pagi untuknya sebelum berangkat ke surau untuk mendengar ceramah Maulud Nabi. Mamat tidak turut serta ke surau. Katanya, terlalu banyak politik di surau. Yang berceramah asyik memerli pemimpin. Yang mendengar sibuk membuat andaian siapa yang diperli. Tak terkecuali, ada jemaah surau yang lebih berminat mendengar lawak jenaka berbanding isi ceramah.



Pening. Pening. Makin ditenung suratkhabar itu, makin pening kepalanya. Tajuk berita yang dibaca bukanlah satu tajuk yang baru. Lebih sepuluh tahun lepas, kedua-dua tokoh yang disanjung oleh Mamat pernah bertelagah isu Melayu dan Islam. Sekarang, isu itu menghiasi helaian akhbar semula. Walaupun perperangan kali ini bermula di medan maya. Namun, terkesan juga pembaca-pembaca akhbar harian yang buta internet.



TDM kata, TGNA punca perpecahan umat Islam. TGNA kata sebaliknya.


TDM kata, umat Islam Melayu selamat kerana golongan nasionalis.


TGNA kata, kerana nasionalis lah Islam Melayu makin terancam.





Islam Melayu? Melayu Islam? Mamat bulatkan matanya, nampak sama saja kedua-dua istilah itu. Mamat fikir jauh-jauh ke zaman sekolahnya. Cikgu Kassim kata yang di depan sesuatu istilah adalah subjek, dan yang dibelakang adalah predikat. Subjek ialah perkara yang ingin diterangkan. Predikat pula ialah perihal yang menerangkan akan subjek.





Maksudnya, kalau Islam Melayu, ayatnya menjadi 'Islam yang dimelayukan'.


Maksudnya, kalau Melayu Islam, ayatnya menjadi 'Melayu yang diislamkan'.


Ahh!! Parah! Golongan mana aku berada? Golongan mana yang hak?
Hati kecil Mamat berdetik, "buat apa aku nak fikir jauh-jauh...itu kerja pejuang bangsa, nasionalis..".
"eh, orang agama la yang patut fikir ini semua...".



Sudahnya, Mamat tenung semula akhbar itu, dibeleknya perenggan demi perenggan. Tiada satu pun percanggahan fakta berkaitan dengan sumbangan kedua-dua pihak tokoh tersebut. Masing-masing ada sumbangan kepada negara, bangsa dan agama. TDM hingga ke antarabangsa. TGNA hingga ke lubuk hati penyokongnya. Kedua-dua tokoh memberi kesan yang mendalam. Kedua-dua tokoh tidak menunjukkan sifat gila kuasa. Kedua-dua tokoh ada ramai penyanjung. Kedua-dua tokoh adalah idola Mamat.



Kini kedua-dua tokoh bertembung dalam arena yang sangat menyedihkan. Di usia lanjut, kedua-dua tokoh berbicara tentang agama, bangsa dan negara dalam kaca mata masing-masing. Mamat gusar, kesempatan ini adalah peluang untuk para penghasut bertindak. Mamat bimbang, kalau ini petanda yang sesuatu musibah bakal tiba di negaranya.



Mamat tersenyum, pertama kali dia melihat TGNA secara mata kasar, adalah ketika tokoh itu melawat anak perempuannya di sebuah universiti di selatan semenanjung. TGNA tiba tanpa kereta-kereta pengiring. Tanpa ada karpet merah. Tanpa ada pengawal peribadi. Zuhud! Terpacul perkataan tersebut apabila TGNA tersenyum kepada Mamat. Jernih muka TGNA tidak dapat dikatakan. Sejuk hati. Hilang gusar. Diangkat terus nama TGNA menjadi tokoh sanjungannya ketika itu.



Mamat turut menangis, bila TDM mengumumkan untuk meletakkan jawatan di dalam parti. Keputusan TDM bermakna era pemerintahan yang panjang bakal tamat dan disambung oleh tokoh yang lain. Mamat tidak percaya ada tokoh lain yang mampu memimpin negara sebaik TDM. TDM adalah legenda yang hidup. Mamat seperti ingin meraung bila melihat TDM mengetuk kad perakam waktu terakhirnya sebagai Perdana Menteri. Yang menghalang air mata Mamat daripada tumpah adalah egonya.



Nah, kedua-duanya memberi sesuatu yang terkesan di dalam hati Mamat. Kata bapa Mamat, 'tanda orang yang ikhlas adalah bila hatinya tidak terkesan dengan pujian mahupun kejian'. mamat masih ingat dengan jelas kata-kata itu. Kedua-dua tokoh itu pastinya sudah menerima bermacam pujian dan kejian. Malah mungking tidak tercapai oleh akal umat manusia, betapa banyak jumlah kejian atau pujian yang diterima oleh kedua-dua tokoh tersebut.



Akhirnya Mamat menutup suratkhabar tersebut, dan mencapai songkok. Mamat mengambil wuduk. Mamat sarungkan selipar. Mamat kuncikan rumahnya. Mamat berjalan menuju ke surau. Terdengar laungan selawat ke atas tokoh pujaan hatinya, tiada terbanding lagi, Nabi Muhammad SAW. Mamat berkobar-kobar. Mamat nekad mahu melupakan dunia, dan mahu meninggalkan tanggapan lain tentang penceramah di luar surau. Kini dia adalah Mamat yang mahu membuka hatinya, menerima pandangan dan kritikan. Mamat mahu menjadi ikhlas dalam hidup.



Mamat berkata di dalam hatinya,"Kalau hidup sentiasa mencari perbezaan, pasti aku tidak akan berhenti menjumpainya. Lebih baik aku mencari persamaan.".

No comments:

Post a Comment